Friday, October 21, 2016

AWAS!! Pernah Tengok Bonjolan di Tangan atau Kaki Seperti Ini? - Anda Perlu Hati-Hati, Baca Ini

Tags


Bagaimanapun, menurut Pakar Perundingan Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Tropicana Kota Damansara, Selangor, Dr. Hisham Kunhimon, individu tidak perlu risau kerana benjolan yang dikenali sebagai ganglion cyst itu kerap berlaku dalam kalangan orang ramai dan tidak mengundang bahaya.

Jelas Hisham, ganglion cyst merupakan sejenis penyakit ketumbuhan benjolan kecil berbentuk cecair berdekatan sendi atau tendon pesakit.

“Penyakit ini lebih kerap berlaku kepada wanita yang berumur antara 15 hingga 45 tahun dan jarang berlaku pada kanak-kanak mahupun orang tua.

“Walaupun penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan orang awam sejak berabad yang lalu, namun pakar-pakar perubatan masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar kemunculan ketumbuhan di kawasan-kawasan tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun ujar Hisham, terdapat beberapa teori yang berkemungkinan boleh menjawab bagaimana ketumbuhan tersebut berlaku di sekitar kawasan sendi dan tendon.

“Pertama, ia terjadi berkemungkinan disebabkan oleh tindak balas badan terhadap kecederaan berulang di kawasan terlibat dan seterusnya menghasilkan benjolan cecair.

“Kedua, ia juga boleh berlaku disebabkan oleh cecair yang keluar di membran tendon atau kap­sul sendi yang lemah dan akhirnya­ membentuk satu benjolan cecair di bawah lapisan kulit,” jelasnya.

Jelas Hisham, bukan itu sahaja, penyakit ganglion cyst juga boleh terjadi disebabkan oleh kekerapan pergerakan berulang yang dilakukan di bahagian-bahagian tersebut.

Ganglion cyst amat kerap dihidap oleh ahli gimnastik, pemain biola dan individu yang banyak menggunakan sendi-sendi ta­ngan dalam menjalani aktiviti ha­rian mereka.

Tanda-tanda

 “Di dalam benjolan ini terdapat cecair yang sama kan­dungannya dengan cecair sendi seperti glukosamine, hyaluronat dan musin. Bagaimanapun, cecair ini berketumpatan lebih pekat seperti jeli, berwarna jernih dan tidak berbau.

“Lazimnya, benjolan tersebut mempunyai saiz berukuran antara 1 hingga 3 sentimeter. Ia kadangkala bersifat lembut mahupun keras, bergantung kepada kuantiti kandungan cecair yang terdapat di dalam ketumbuhan tersebut,” jelasnya.

Kira-kira 85 hingga 88 peratus ketumbuhan tersebut berlaku di sekitar pergelangan tangan berdekatan pangkal ibu jari dan tulang jari manakala selebihnya pula tumbuh di bahagian lutut dan pergelangan kaki.

Jelas Hisham, walaupun ketumbuhan tersebut tidak sukar dikesan dan membentuk hampir 50 peratus daripada ketumbuhan dan benjolan di kawasan tangan, namun beberapa simptom awal dapat menunjukkan seseorang diserang penyakit ganglion cyst.

“Terdapat beberapa simptom yang menunjukkan serangan ganglion cyst iaitu bengkak pada pergelangan tangan pangkal ibu jari, di pangkal kuku tangan, di kaki dan lutut. Pesakit ada kala­nya mengalami kesakitan ketika melakukan pergerakan pada kawasan-kawasan tersebut.

“Bagaimanapun individu tidak perlu khuatir kerana ketumbuhan tersebut tidak merbahaya atau menyebabkan serangan kanser,” jelasnya.

Tambah Hisham, disebabkan ganglion cyst berlaku di bahagian tendon, pesakit kadangkala akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan kawasan terlibat, disebabkan oleh geseran tendon di kawasan sekitar.

“Perkara tersebut bagaimanapun bergantung kepada individu. Jika ketumbuhan tersebut kecil dan tidak banyak, ia tidak akan terasa sakit dan individu hanya akan nampak benjolan yang ada kalanya bertambah besar apabila melakukan aktiviti berat pada anggota yang terlibat.

“Bagaimanapun, jika ketumbuhan tersebut besar, ia akan menyukarkan pergerakan seseorang dan pesakit akan sering mengalami kesakitan di bahagian tersebut,” jelasnya.

Rawatan

Sekitar satu pertiga hingga setengah daripada ganglion cyst akan hilang dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan perubatan. Ini kerana, ketumbuhan tersebut boleh membesar dan mengecut dengan sendirinya.

Bagaimanapun, sehingga kini, terdapat dua rawatan yang diaplikasikan terhadap pesakit yang mengalami ganglion cyst.

“Jika ketumbuhan tersebut kecil, pesakit akan dirawat menggunakan teknik sedutan picagari bagi mengeluarkan bendalir tersebut.

“Pesakit kemudian akan di­suntik dengan suntikan kortiko steroid di kawasan tersebut bagi mengurangkan radang,” jelasnya.

Bagaimanapun, benjolan tersebut berpotensi untuk tumbuh semula.

“Lazimnya, kita akan memeriksa saiz ganglion itu. Jika saiz tersebut besar dan banyak, pesakit berkemungkinan akan menjalani pembedahan ke­cil di kawasan yang mengalami masalah itu,” katanya.


sumber asal


EmoticonEmoticon